1. Masa kian hampir dengan tarikh perhimpunan agong UMNO Mac ini. Di sana sini orang ramai, Melayu khususnya bercakap pasal pemilihan pemimpin yang akan berlaku pada Mac ini. DS Najib sudahpun memenangi jawatan presiden tanpa bertanding. maka jawatan itu sudah tidak ada perebutan lagi. Jawatan yang lain sudah tentu akan dipertandingkan. Sudah pasti 4 kategori yang menarik perhatian ialah :-
a.Timbalan Presiden
b. Naib Presiden
c. Ketua Pemuda dan,
d. Naib Ketua Pemuda.
Jawatan-jawatan lain bukanlah tidak hebat tapi yang lebih menarik minat orang ramai adalah 4 kategori tadi. Dan di dalam 4 kategori itu, jawatan timbalan presiden dan ketua pemuda UMNO nampaknya lebih mengujakan. Dua jawatan penting ini mewakili 2 kelompak berbeza. Satu kepada keseluruhan UMNO dan satu lagi mengenai aspirasi golongan muda.
2. Dua jawatan inilah yang memberi dilema kepada semua perwakilan dari seluruh negara. Memang sukar memilih antara kredibiliti dan populariti kerana yang ada kredibiliti tidak pula popular sementara yang popular pula diragui kredibilitinya. Di antara yang genius dan yang ramah mesra ; yang genius tak berapa mesra; yang mesra agak tak geniuslah pula .. Di antara kehendak akar umbi dan juga kepentingan peribadi ; yang dikehendaki akar umbi tak pula pandai menjaga kepentingan perwakilan tadi ! Barangkali kini dilema yang menghantui benak perwakilan ini lebih teruk daripada kegelisahan mahasiswa yang menempuh peperiksaan tahun akhir. Kesiannya perwakilan....
3. Di mana-mana pertemuan antara calon-calon bertanding dengan pewakilan kedengaran suara jeritan perwakilan " Kami sokong !" Kadang-kadang lucu pula memandang wajah yang menjerit tadi. Pertamanya tentulah dia di kalangan agen-agen atau penyokong kuat calon tersebut. Keduanya barangkali sudah tau bahawa jeritan itu tadi ada nilai harganya. Berapa? Tanya lah mereka.... Tapi bukan banyak pun. Kalau ditolak minyak kereta dan tol, belum tentu boleh membeli lauk dapur untuk 3 hari. Kadang-kadang ada juga yang pulang dengan tangan kosong. Ada juga yang dikirim melalui agen tapi kadang-kadang jumlah akhir yang diterima sudah ditolak cukai agen!
4. Di sana-sana sini selepas kemerosotan prestasi BN dalam PR yang lepas, ramai bercakap tentang soal perubahan. Kebetulan pula, ia adalah tema kempen Barrack Obama ketika beliau bertanding dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat. Entah apa apa yang mahu diubah, masih belum jelas kelihatan kecuali satu; BN dan UMNO mahu presidennya ditukar ! Maka selepas Mac ini DS Najib sudah sah menjadi presiden UMNO. Rakyat juga mahu kepimpinan UMNO ditukar daripada regim yang ada kini kepada muka-muka yang baru. Maka di tangan perwakilan inilah terletak amanah ahli-ahli UMNO dan orang Melayu. Jika UMNO masih lagi dipimpin oleh regim yang sama, maka tidak hairan jika pada PR akan datang rakyat terutama golongan pengundi muda akan mengundi protes lagi. Oleh itu ingat dan renungkanlah para perwakilan dengan sebaik-baiknya. Rakyat benar-benar menuntut perubahan. Rakyat telah benci dan muak dengan kemunafikan. Perubahan itu adalah hijrah. Hijrah yang baik itu adalah Jihad. Jihad adalah amal makruf. Jika anda memilih melakukan amal makruf demi survival bangsa kita , anda telah berjihad untuk bangsa kita. Keputusan di tangan anda. Samada anda benar-benar seorang pejuang bangsa. Atau benar-benar pengkhianat bangsa!
Dalam surah Taha ayat 74-75 Allah telah mengingatkan kita sebagaimana berikut :-
[74]"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup. [75]"Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:
No comments:
Post a Comment