Wednesday, February 18, 2009

Dilema Perwakilan

1. Masa kian hampir dengan tarikh perhimpunan agong UMNO Mac ini. Di sana sini orang ramai, Melayu khususnya bercakap pasal pemilihan pemimpin yang akan berlaku pada Mac ini. DS Najib sudahpun memenangi jawatan presiden tanpa bertanding. maka jawatan itu sudah tidak ada perebutan lagi. Jawatan yang lain sudah tentu akan dipertandingkan. Sudah pasti 4 kategori yang menarik perhatian ialah :-


a.Timbalan Presiden


b. Naib Presiden


c. Ketua Pemuda dan,


d. Naib Ketua Pemuda.




Jawatan-jawatan lain bukanlah tidak hebat tapi yang lebih menarik minat orang ramai adalah 4 kategori tadi. Dan di dalam 4 kategori itu, jawatan timbalan presiden dan ketua pemuda UMNO nampaknya lebih mengujakan. Dua jawatan penting ini mewakili 2 kelompak berbeza. Satu kepada keseluruhan UMNO dan satu lagi mengenai aspirasi golongan muda.




2. Dua jawatan inilah yang memberi dilema kepada semua perwakilan dari seluruh negara. Memang sukar memilih antara kredibiliti dan populariti kerana yang ada kredibiliti tidak pula popular sementara yang popular pula diragui kredibilitinya. Di antara yang genius dan yang ramah mesra ; yang genius tak berapa mesra; yang mesra agak tak geniuslah pula .. Di antara kehendak akar umbi dan juga kepentingan peribadi ; yang dikehendaki akar umbi tak pula pandai menjaga kepentingan perwakilan tadi ! Barangkali kini dilema yang menghantui benak perwakilan ini lebih teruk daripada kegelisahan mahasiswa yang menempuh peperiksaan tahun akhir. Kesiannya perwakilan....




3. Di mana-mana pertemuan antara calon-calon bertanding dengan pewakilan kedengaran suara jeritan perwakilan " Kami sokong !" Kadang-kadang lucu pula memandang wajah yang menjerit tadi. Pertamanya tentulah dia di kalangan agen-agen atau penyokong kuat calon tersebut. Keduanya barangkali sudah tau bahawa jeritan itu tadi ada nilai harganya. Berapa? Tanya lah mereka.... Tapi bukan banyak pun. Kalau ditolak minyak kereta dan tol, belum tentu boleh membeli lauk dapur untuk 3 hari. Kadang-kadang ada juga yang pulang dengan tangan kosong. Ada juga yang dikirim melalui agen tapi kadang-kadang jumlah akhir yang diterima sudah ditolak cukai agen!




4. Di sana-sana sini selepas kemerosotan prestasi BN dalam PR yang lepas, ramai bercakap tentang soal perubahan. Kebetulan pula, ia adalah tema kempen Barrack Obama ketika beliau bertanding dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat. Entah apa apa yang mahu diubah, masih belum jelas kelihatan kecuali satu; BN dan UMNO mahu presidennya ditukar ! Maka selepas Mac ini DS Najib sudah sah menjadi presiden UMNO. Rakyat juga mahu kepimpinan UMNO ditukar daripada regim yang ada kini kepada muka-muka yang baru. Maka di tangan perwakilan inilah terletak amanah ahli-ahli UMNO dan orang Melayu. Jika UMNO masih lagi dipimpin oleh regim yang sama, maka tidak hairan jika pada PR akan datang rakyat terutama golongan pengundi muda akan mengundi protes lagi. Oleh itu ingat dan renungkanlah para perwakilan dengan sebaik-baiknya. Rakyat benar-benar menuntut perubahan. Rakyat telah benci dan muak dengan kemunafikan. Perubahan itu adalah hijrah. Hijrah yang baik itu adalah Jihad. Jihad adalah amal makruf. Jika anda memilih melakukan amal makruf demi survival bangsa kita , anda telah berjihad untuk bangsa kita. Keputusan di tangan anda. Samada anda benar-benar seorang pejuang bangsa. Atau benar-benar pengkhianat bangsa!




Dalam surah Taha ayat 74-75 Allah telah mengingatkan kita sebagaimana berikut :-




[74]"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup. [75]"Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:








Sunday, February 15, 2009

Derhaka

1. Hishamudin Rais baru saja menulis mengenai penderhakaan kepada Raja. Setelah selesai membaca artikel tersebut saya sebenarnya keliru dengan mesej yang ingain disampaikan. Ketika menjadi mahasiswa dulu saya ada juga membaca mengenai beliau. Kemudian apabila beliau diampun dan dibenarkan pulang ke Msia, saya masih ingat lagi bagaimana beliau mencium bumi bertuah ini. Bumi yang masih mempunyai Raja Melayu. Kini beliau menghasut rakyat sekali lagi dengan berkata di dalam artikel tersebut bahawa penderhaka ujud dalam pembudayaan Melayu.
2. Derhaka itu memanglah mempunyai pengertian yang luas. Tetapi di dalam konteks ini derhaka itu merujuk kepada perbuatan menconteng arang ke muka raja. Dalam bahasa yang mudah ialah menjatuhkan maruah raja. Sebagai orang Melayu, Raja adalah lambang payung perpaduan dan perlindungan kepada kita. Apakah berdemonstrasi mengepung kereta raja melambangkan perbuatan Melayu yang berakhlak dan berbudi perkerti tinggi? Sebagai seorang bekas mahasiswa, idelogi ini tidak mencerminkan ketinggian akademik beliau. Artikel yang ditulisnya itu lebih bersifat emosial dengan fakta-fakta yang tidak tepat.
3. Inilah masalah dengan aktivis politik. Mereka ini emosi, bahkan mereka suka membakar emosi orang lain. Semua itu hanya untuk 'political mileage' mereka. Ketika ibu bapa menghantar anak-anak ke menara gading, mereka berharap kita akan dapat menjadi insan yang bijaksana, berguna kepada agama, bangsa dan negara. Beza antara orang yang berilmu dengan orang-orang biasa terletak kepada kewarasan dan kebijaksanaan mereka. Orang bijaksana bercakap dengan fakta dan huraian yang tepat, yang boleh diterima oleh hukum akal dan logik. Kadang-kadang ada baiknya kita mengorek rahsia Hishamuddin Rais ini bagaimana perangai dia di Universiti dahulu. Mungkin juga dia bukanlah cemerlang dalam akademik. Siapa tahu?
4. Tidak ada salahnya institusi raja-raja Melayu ini. Selain daripada lambang ketinggian bangsa, ia juga mempunyai fungsi dan kepentingan di dalam perlembagaan demi survival bangsa Melayu itu sendiri. Kata orang tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sebagai rakyat kita taat kepada raja dalam konteks baginda adalah ketua agama bagi setiap negeri seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Dalam konteks adat dan budaya Melayu ketaatan adalah lambang perpaduan dan kekuatan. Jika Melayu kuat, UMNO kuat. Jika Melayu kuat PAS juga akan kuat. Kekuatan UMNO di dalam BN akan memberi imbangan kuasa yang penting kepada kestabilan politik negara. Kekuatan PAS di dalam pakatan pembangkang memastikan tidak ada isu-isu sensitif mengenai bangsa Melayu dimainkan. Tapi hari ini pengaruh UMNO sedikit merosot. Pas lebih teruk lagi. Pas kini adalah kelas ketiga di dalam pakatan pembangkang di belakang DAP dan Keadilan. Ingatlah, orang-orang UMNO tidak pernah menfatwakan PAS sebagai musuh. Jika penyokong UMNO taat kepada presiden parti, penyokong PAS taksub kepada Tok Guru Nik Aziz dan penyokong keadilan taksub kepada Anwar Ibrahim, mengapa pula sebagai bangsa Melayu kita perlu derhaka kepada raja?
5. Saya tertarik dengan coretan di Utusan Melayu hari ini oleh seorang anak Johor. Katanya jika Nizar itu rakyat Johor dan menderhaka, sebelum subuh pingat Dato Serinya telah pulang ke istana. Wah ! Boleh tahan juga dia mempertahankan raja...
Daulat Tuanku !
Patik seluruh rakyat Johor menjujung kasih dan taat setia
ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku !

Saturday, February 14, 2009

corat-coret

1. Jika anda melayari blog DSAI hari ini anda akan melihat photo forum mengenai hubungan dunia Islam dgn dunia barat yang berlangsung di Qatar. Melihatkan photo tersebut saya tertanya-tanya apa yang dibincangkan mengenai Islam di forum tersebut. Yang perempuannya melihatkan memek muka yang mencebik. Dan yang laki2 di sebelah DSAI memakai uniform tentera USA. Jadi mana ulama-ulama yang menjadi ahli forum yang lain? Atau DSAI saja wakil Islam yang dibenarkan berforum dengan Amerika. Selain daripada tulisan retoriknya yang biasa dibaca, tidak ada satu pun rumusan daripada persidangan tersebut dalam bentuk idea baru yang disampaikan beliau. Aduh... penat kita menunggu beberapa hari ini untuk mendengar rumusan dan deklarasi forum tersebut. Kata orang N.Sembilan.. mengabih ko boreh jo...
2. Bekas mufti Perlis Ustaz Asri ada memberi komen mengenai perlatikan MB Perak yang baru. Katanya DS Harussani adalah orang yang mengepalai bacaan doa di majlis tersebut. Beliau adalah tokoh agama yang sangat-sangat dihormati dan dikagumi oleh orang PAS selama ini? Tapi mengapa dalam kes ini beliau mengepalai bacaan doa hendaklah kita renungkan kata Ustaz Asri. Apakah beliau juga telah dirasuah oleh UMNO berjuta-juta? Atau beliau lebih takut kpd DYMM Sultan Perak daripada berkata benar tentang hukum agama? Jika kita perhatikan sejarah beliau, tidak ragu-ragu bahawa DS Harussani adalah orang yg amat terpuji peribadinya. Beliau tidak pernah menyembunyikan yang hak daripada yang bathil. Hingga ke saat ini, kita belum mendengar orang PAS mengutuk tindakan beliau ini. Barangkali dalam waktu terdekat ini kita akan dapat mendengar komen lanjut Ustaz Asri berkenaan politik di Perak.
3. DS Najib telah mengumumkan bahawa calon YB di Bukit Gantang adalah daripada UMNO dan anak tempatan. Sebagai orang Melayu kita rasa lega dan bangga dengan beliau kerana bertindak tepat. Sebagai penduduk majoriti, memanglah wajar kerusi itu diberikan kepada UMNO. Pada pilihanraya lepas pengundi telah memilih wakil Melayu di situ (walaupun allahyarham daripada PAS). Jadi itulah kehendak pengundi sebenarnya. Kaum India dan Cina tidak wajar berasa irihati atau tersisih. Memang kita risau kalau-kalau kerusi itu tidak dipulangkan kepada UMNO. Ia bukan soal statistik atau perjanjian dalam BN. Kalau secara statistik pun orang Melayu adalah dominan di situ. Soalnya Orang Melayu begitu sensitif waktu ini. Silap percaturan mereka akan memangkah pembangkang lagi. Jadi keputusan itu wajar dilihat sebagai muafakat dan persefahaman di kalangan parti komponen demi survival BN itu sendiri. Jika keadaan kembali reda di masa hadapan, tidak salah kita memulangkan kerusi itu lagi kepada parti komponen.
4. Kepada rombongan daripada UMNO Bhg. Kuala Nerus yang diraikan di kukup tadi, kami di Johor mengucapkan terima kasih kerana sudi menjamu selera dengan jamuan yang tak seberapa itu. Cuma kebetulan pada hari cuti begini, tambahan lagi majlis ini pun bukan majlis rasmi, maka tak lah begitu ramai yang dapat menyambut saudara semua. Bagi kami di Johor, meraikan tetamu adalah budaya biasa. Anggaplah ia sebagai salam kemesraan sesama kita. Moga-moga ukhuwah yang terjalin itu akan berkekalan hendaknya.
5. Sebenarnya saya ada bertemu Tun beberapa hari lalu di pejabat beliau di Menara Petronas bersama-sama KP dan ahli UMNO bhg saya. Tun kelihatan sihat dan bertenaga. Kami berbual tentang beberapa perkara. Mendengarkan nada suaranya, saya tertanya-tanya mengapa beliau masih bersemangat bebicara tentang nasib dan hala tuju UMNO dan negara. Sebagai insan kerdil, seperti ramai rakyat Malaysia yang lainnya, saya hanya mampu memanjatkan doa agar Allah pelihara dan panjangkan umur Tun . Memang sebagai manusia beliau juga bukan terkecuali dari kesilapan dan dosa. Apakah kita juga sempurna? Tapi apa yang dilakukannya kepada tanah air ini bukanlah sedikit. Sejujurnya saya selalu tercuit ketika membaca cercaan sesetengah orang kepada beliau. Saya bukan taksub. Saya cuma amat-amat menghormati. Sebabnya? Biarlah rahsia.. (mcm lagu Siti Nurhaliza aje bunyinya !)

Friday, February 13, 2009

Alahai Nizar

1. Hari ini Dato Seri Nizar telah memfailkan saman ke atas perlantikan Dr. Zambery sebagai menteri besar Perak yang baru. Nampaknya bersungguh benar bekas MB Perak itu memperjuangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP Perak itu. Tidak dapat difailkan di Perak, maka dia failkan saman itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Turut kelihatan adalah bekas exco DAP Perak iaitu Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Meng. Peliknya tidak ada pula di situ Mohd Sabu, Anwar Ibrahim atau Karpal Singh.

2. Pada awalnya episod saman ini digemburkan oleh Karpal Singh. Anehnya dia (dan anaknya juga!) , tidak kelihatan di situ. Maka terpaksalah Dato Seri Nizar menjawab soalan wartawan tanpa mendapat pembelaan daripada bos-bos besar mereka. Kesian Dato Seri Nizar, baru 11 bulan merasa menjadi MB, kini tiba-tiba menjadi bekas MB.

3. Berikutan saman itu, DYMM Sultan selangor telah melahirkan rasa dukacita kerana rakyat tidak menghormati pandangan dan arahan serta bersikap biadap kepada DYMM Sultan Perak. DYMM Sultan Selangor bertitah tidak mungkin individu seperti DYMM Sultan Perak yang mempunyai pengetahuan undang-undang yang tinggi dan bekas Ketua Hakim Malaya tidak mengetahui implikasi titah yang baginda buat berkenaan suasana politik di Perak. Nampaknya kini Sultan terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk mententeramkan rakyat. Rupa-rupanya beruntung dan bertuah sungguh bangsa Melayu kita kerana masih mempunyai Sultan. Bayangkan suasana ini berlaku di seberang tambak kita, agaknya sultan manakah yang dapat melindungi bangsa Melayu di sana? Ops maafkan saya kerana terlupa Melayu di sana sudah tidak bersultan lagi. Melayu di sana sudah tidak istimewa lagi.

4. Berkaitan isu saman ini juga Dato Seri Khir Toyo telah ditahan polis di Pulau Pinang kerana menganjurkan perarakan untuk menyerahkan memorandum kepada Karpal Singh berkenaan niat peguam itu untuk menyaman Sultan Perak. Nampaknya pendekar UMNO yang seorang ini benar-benar cuba menonjolkan diri dalam kempennya untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO Mac ini. Beliau ini bukan calang-calang pidatonya. Boleh meremang bahu dibuatnya kalau mendengar dia berpidato. Malangnya itu semua berlaku selepas jawatan MB nya dirampas oleh Tan Sri Khalid. Orang Selangor marah kepadanya kerana berbudayakan penyapu sedangkan penyapu itu lambang penghinaan dalam masyarakat Melayu. Entah apa silapnya (dan siapalah penasihatnya) seorang MB tidak faham budaya kaumnya sendiri. Kata pepatah moden, terlajak perahu boleh diundur, terlajak penyapu dipersilakan berundur!! ekekeke.

5. KJ juga baru-baru ini menganjurkan perhimpunan mempertahankan Sultan Perak. Seperti biasa 'youth champion' yang terkenal dengan sifat pendekar dan vokal ini akan mengetuai apa-apa siri bantahan atas nama Pemuda UMNO. Baru-baru ini ketika saya bertanya kepada salah seorang rakan rapat beliau di antara ketiga-tiga calon pemuda siapakah yang lebih berkelayakan, maka rakannya itu berkata untuk menjadi pemimpin kita mesti mepunyai sifat-sifat rasulullah. Tapi sebagai calon ketua pemuda cukuplah kita mempunyai sifat kependekaran. Saya terasa lucu benar, tapi saya tak samapi hati bertanya lanjut lagi. Bukan apa, saya tak mahu dilihat memihak ke mana-mana. Sebenarnya saya boleh memihak kerana saya bukanlah antara yang akan mengundi di Perhimpunan UMNO nanti. Tak apa lah, saya faham maksud tersirat jawapan beliau itu. Cuma saya sedih sebagai orang yang pernah belajar pengajian agama di luar negara, mengapa beliau tidak menyatakan yang HAK ? Tak apalah, biarlah dia menjawab di hadapan Rabbul Jalil nanti.

6. Dato Mukhriz belum bertindak atau mengeluarkan komen agresif berkenaan isu ini. Tidak diketahui apa pula sebabnya. Anakmuda seorang ini agak sukar diramal. Adakalanya dia vokal tetapi adakalanya beliau hanya berdiam diri. Apabila dia meyatakan sesuatu, selalunya pendapatnya agak pedas dan kritis. Dia disukai ramai anakmuda . Itu rumusan daripada jumlah pencalonannya sebagai ketua pemuda. Keperibadiannya mengingatkan kita kepada Tun Mahathir yang suka membuat keputusan-keputusan penting yang tidak popular. Pun begitu ramai berharap beliau akan menjadi pemimpin sehebat bapanya. Hanya seperkara anakmuda Melayu tidak berapa tahu (kalau pun tau, mereka tak dapat berbuat apa-apa) bukan semuanya KP dan NKP serta G2 di dalam UMNO itu mengundi berdasarkan keputusan pencalonan mereka. Itu kita perlu tanya pemimpin-pemimpin pemuda UMNO setiap bahagian di dalam negara. Mereka lebih arif tentang 'Open Secret" itu.

7. Dalam masa beberapa hari ini kita akan menunggu apakah keputusan saman Dato Seri Nizar. Apakah beliau berjaya mengembalikan jawatan MB Perak kepadanya. Atau berjayakah dia dan barisan peguamnya membuat mahkamah mengisytiharkan pembubaran DUN Perak dan mengadakan pilihanraya? Apakah dengan tindakan saman derhaka ini ini akan membuat ramai lagi raja-raja Melayu mengeluarkan kenyataan ? Sama-sama lah kita menanti. Kata orang penantian itu satu penyeksaan. Hanya Dato Nizar yang tahu betapa seksanya dia dipaksa membuat tindakan-tindakan begini oleh tangan-tangan tersembunyi di belakangnya. Saya teringat kata-kata orang PAS yang masyhur " Jangan kamu ambil orang kafir itu menjadi pemimpin kamu !"

Thursday, February 12, 2009

Di mana Hati Melayu Kita?

1. Kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Daripada masyarakat Melayu yang mundur, hari ini kita telah maju jauh berbanding dengan kebanyakan penduduk di negara jiran kita. Kemerdekaan dan kemajuan juga telah mengubah landskap kehidupan serta budaya kita. Orang Melayu telah menjadi moden dan berpelajaran. Mereka ini adalah hasil dari kemerdekaan kita.

2. Dahulu bicara politik adalah sesuatu yang asing kecuali kepada beberapa kelompok masyarakat melayu kelas menengah dan atasan. Rakyat biasa selalunya hanya mendengar dan mengikut sahaja. Barangkali pada waktu itu ramai pemimpin Melayu yang benar-benar berjuang demi nasib melayu (walaupun secara tak langsung mereka juga berjuang untuk kepentingan politik mereka sendiri!) Keadaan hari ini tidak lagi begitu. Dalam sepuluh tahun ke belakangan ini politik sudah tidak lagi dianggap sebagi sesuatu yang esklusif. Bicara politik telah menjadi haksemua orang walaupun kadang-kadang orang yang berbicara hal politik itu tidak berpolitik dan tidak faham politik.

3. Suatu ketika dahulu orang Melayu secara keseluruhannya amat-amat menitik beratkan soal budi bahasa dan perasaan hormat saling menghormati. Tidak mengapa jika paras rupa kita tidak berapa cantik/lawa asalkan kita berbudi pekerti. Orang-orang muda tidak berani meninggikan suara kepada orang yang lebih tua kerana itu dianggap biadap, sementelahan lagi menentang raja kerana itu perbuatan derhaka!. Tapi kini seiring dengan derasnya arus kemerdekaan, budaya itu telah semakin dilenyapkan masa. Kadang-kadang kita hairan kenapa begitu mudah budaya mulia orang Melayu ini hilang.

4. Di Perak kini keadaan politik bergolak lagi apabila BN tiba-tiba menumbangkan kerajaan pakatan rakyat. Lalu tercetuslah demonstrasi oleh pihak pakatan rakyat yang marah dan membantah keadaan tersebut. Orang Melayu sekali lagi menjadi hero jalanan dengan berarak dan berdemo selepas solat Jumaat. Dalangnya siapa lagi kalau bukan Hero Demonstrasi Jalanan Malaysia ; Anwar Ibrahim. (Rakan beliau Lim Kit Siang dan Karpal Singh diam-diam aje!) Maka orang Melayu pun keluar menunjukkan amarah mereka sehingga sanggup baring di atas jalanraya mengahalang kereta YM Raja Nazrin. Rupa-rupanya budaya sopan santun Melayu bukan sahaja semakin terhakis malah budaya baru telah bermula ... Kurang Ajar dan Derhaka !Soalnya kenapa budaya ini ada pada orang Melayu yang bersongkok dan berserban? Dahulu orang Melayu yang bersongkok dan berserban ini tergolong dalam golongan agama yang lebih tertib dan tinggi budi pekertinya berbanding masyarakat Melayu biasa. Golongan ini sangat-sangat dimuliakan dalam masyarakat Melayu. Biasanya mereka mengajar al-Quran dan hal-hal agama. Kini golongan ini pula yang lebih celupar dengan kata-kata seperti Babi! Binatang! Sial! dan sebagainya. Yang hairannya selepas kata-kata celupar itu mereka memuji pula nama Allah yang Esa!

5. Kita tidak perlu menyebelahi samada BN atau Pakatan Rakyat. Kita bercakap mengenai budaya Melayu sahaja. Cukup di situ sempadannya. Politik adalah seribu kemungkinan. Di dalam politik tidak ada kawan yang setia atau musuh yang kekal. Anwar dahulu adalah orang no. 2 di dalam UMNO selepas Tun Mahathir. Semasa dia di dalam UMNO Karpal Singh dan Lim Kit Siang adalah musuh utama beliau. Semua perkataan dan perbuatan serta idealisme Karpal dan Lim Kit Siang adalah tidak benar kepada Anwar. Bezanya kini apabila beliau tidak lagi bersama UMNO maka Karpal Singh dan Lim Kit Siang kini menjadi sahabat baik dia pula! Tapi orang Melayu nampaknya mudah lupa ( seperti kata-kata Tun Mahathir yang popular itu!)

6. Bangsa Melayu kini berpecah-pecah kepada beberapa golongan. Di selatan seperti di Johor terutama Melayu di kampung-kampung, mereka masih kuat berpaksi kepada UMNO. Alasannya mudah. Di situlah tempat lahir UMNO. Dan yang memangkah BN pada setiapkali pilihanraya juga kebanyakannya tidak berdaftar sebagai ahli UMNO. Di kawasan tengah orang Melayu kini lebih cenderung kepada Keadilan. Di sini letaknya golongan melayu Moden yang berkerja di kota dan mempunyai taraf pendidikan yang agak tinggi. Mereka lebih terbuka. Mereka adalah golongan yang mementingkan 'fact & figure'. Manakala di kawasan Timur dan Utara majoriti Melayu menyokong idelisme PAS. Orang-orang Melayu di sini lebih selesa dengan imej kopiah dan serban. Soal berapa tinggi dan meluasnya ilmu keagamaan, itu persoalan lain.

7. Sebagai orang Melayu ada baiknya kita merenung dan bermuhasabah kepada diri kita sendiri. Pertamanya adakah di bumi bertuah ini ( Tanah Melayu) nasib kita sengsara dan tidak terbela? Keduanya mengapa dalam kemelut politik ini yang huru hara adalah bangsa kita? Ketiga, apakah kemerdekaan ini telah mengubah budaya Melayu kita yang mulia sehingga kita sanggup bermusuh dan bercakaran sesama bangsa? Akhir sekali di mana hati Melayu kita? Apakah sekiranya sekiranya keadaan benar-benar mendesak demi survival bangsa kita, bolehkah kita bersatu tanpa mengira idealisma?