Friday, February 13, 2009

Alahai Nizar

1. Hari ini Dato Seri Nizar telah memfailkan saman ke atas perlantikan Dr. Zambery sebagai menteri besar Perak yang baru. Nampaknya bersungguh benar bekas MB Perak itu memperjuangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP Perak itu. Tidak dapat difailkan di Perak, maka dia failkan saman itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Turut kelihatan adalah bekas exco DAP Perak iaitu Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Meng. Peliknya tidak ada pula di situ Mohd Sabu, Anwar Ibrahim atau Karpal Singh.

2. Pada awalnya episod saman ini digemburkan oleh Karpal Singh. Anehnya dia (dan anaknya juga!) , tidak kelihatan di situ. Maka terpaksalah Dato Seri Nizar menjawab soalan wartawan tanpa mendapat pembelaan daripada bos-bos besar mereka. Kesian Dato Seri Nizar, baru 11 bulan merasa menjadi MB, kini tiba-tiba menjadi bekas MB.

3. Berikutan saman itu, DYMM Sultan selangor telah melahirkan rasa dukacita kerana rakyat tidak menghormati pandangan dan arahan serta bersikap biadap kepada DYMM Sultan Perak. DYMM Sultan Selangor bertitah tidak mungkin individu seperti DYMM Sultan Perak yang mempunyai pengetahuan undang-undang yang tinggi dan bekas Ketua Hakim Malaya tidak mengetahui implikasi titah yang baginda buat berkenaan suasana politik di Perak. Nampaknya kini Sultan terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk mententeramkan rakyat. Rupa-rupanya beruntung dan bertuah sungguh bangsa Melayu kita kerana masih mempunyai Sultan. Bayangkan suasana ini berlaku di seberang tambak kita, agaknya sultan manakah yang dapat melindungi bangsa Melayu di sana? Ops maafkan saya kerana terlupa Melayu di sana sudah tidak bersultan lagi. Melayu di sana sudah tidak istimewa lagi.

4. Berkaitan isu saman ini juga Dato Seri Khir Toyo telah ditahan polis di Pulau Pinang kerana menganjurkan perarakan untuk menyerahkan memorandum kepada Karpal Singh berkenaan niat peguam itu untuk menyaman Sultan Perak. Nampaknya pendekar UMNO yang seorang ini benar-benar cuba menonjolkan diri dalam kempennya untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO Mac ini. Beliau ini bukan calang-calang pidatonya. Boleh meremang bahu dibuatnya kalau mendengar dia berpidato. Malangnya itu semua berlaku selepas jawatan MB nya dirampas oleh Tan Sri Khalid. Orang Selangor marah kepadanya kerana berbudayakan penyapu sedangkan penyapu itu lambang penghinaan dalam masyarakat Melayu. Entah apa silapnya (dan siapalah penasihatnya) seorang MB tidak faham budaya kaumnya sendiri. Kata pepatah moden, terlajak perahu boleh diundur, terlajak penyapu dipersilakan berundur!! ekekeke.

5. KJ juga baru-baru ini menganjurkan perhimpunan mempertahankan Sultan Perak. Seperti biasa 'youth champion' yang terkenal dengan sifat pendekar dan vokal ini akan mengetuai apa-apa siri bantahan atas nama Pemuda UMNO. Baru-baru ini ketika saya bertanya kepada salah seorang rakan rapat beliau di antara ketiga-tiga calon pemuda siapakah yang lebih berkelayakan, maka rakannya itu berkata untuk menjadi pemimpin kita mesti mepunyai sifat-sifat rasulullah. Tapi sebagai calon ketua pemuda cukuplah kita mempunyai sifat kependekaran. Saya terasa lucu benar, tapi saya tak samapi hati bertanya lanjut lagi. Bukan apa, saya tak mahu dilihat memihak ke mana-mana. Sebenarnya saya boleh memihak kerana saya bukanlah antara yang akan mengundi di Perhimpunan UMNO nanti. Tak apa lah, saya faham maksud tersirat jawapan beliau itu. Cuma saya sedih sebagai orang yang pernah belajar pengajian agama di luar negara, mengapa beliau tidak menyatakan yang HAK ? Tak apalah, biarlah dia menjawab di hadapan Rabbul Jalil nanti.

6. Dato Mukhriz belum bertindak atau mengeluarkan komen agresif berkenaan isu ini. Tidak diketahui apa pula sebabnya. Anakmuda seorang ini agak sukar diramal. Adakalanya dia vokal tetapi adakalanya beliau hanya berdiam diri. Apabila dia meyatakan sesuatu, selalunya pendapatnya agak pedas dan kritis. Dia disukai ramai anakmuda . Itu rumusan daripada jumlah pencalonannya sebagai ketua pemuda. Keperibadiannya mengingatkan kita kepada Tun Mahathir yang suka membuat keputusan-keputusan penting yang tidak popular. Pun begitu ramai berharap beliau akan menjadi pemimpin sehebat bapanya. Hanya seperkara anakmuda Melayu tidak berapa tahu (kalau pun tau, mereka tak dapat berbuat apa-apa) bukan semuanya KP dan NKP serta G2 di dalam UMNO itu mengundi berdasarkan keputusan pencalonan mereka. Itu kita perlu tanya pemimpin-pemimpin pemuda UMNO setiap bahagian di dalam negara. Mereka lebih arif tentang 'Open Secret" itu.

7. Dalam masa beberapa hari ini kita akan menunggu apakah keputusan saman Dato Seri Nizar. Apakah beliau berjaya mengembalikan jawatan MB Perak kepadanya. Atau berjayakah dia dan barisan peguamnya membuat mahkamah mengisytiharkan pembubaran DUN Perak dan mengadakan pilihanraya? Apakah dengan tindakan saman derhaka ini ini akan membuat ramai lagi raja-raja Melayu mengeluarkan kenyataan ? Sama-sama lah kita menanti. Kata orang penantian itu satu penyeksaan. Hanya Dato Nizar yang tahu betapa seksanya dia dipaksa membuat tindakan-tindakan begini oleh tangan-tangan tersembunyi di belakangnya. Saya teringat kata-kata orang PAS yang masyhur " Jangan kamu ambil orang kafir itu menjadi pemimpin kamu !"

No comments:

Post a Comment