Thursday, February 12, 2009

Di mana Hati Melayu Kita?

1. Kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Daripada masyarakat Melayu yang mundur, hari ini kita telah maju jauh berbanding dengan kebanyakan penduduk di negara jiran kita. Kemerdekaan dan kemajuan juga telah mengubah landskap kehidupan serta budaya kita. Orang Melayu telah menjadi moden dan berpelajaran. Mereka ini adalah hasil dari kemerdekaan kita.

2. Dahulu bicara politik adalah sesuatu yang asing kecuali kepada beberapa kelompok masyarakat melayu kelas menengah dan atasan. Rakyat biasa selalunya hanya mendengar dan mengikut sahaja. Barangkali pada waktu itu ramai pemimpin Melayu yang benar-benar berjuang demi nasib melayu (walaupun secara tak langsung mereka juga berjuang untuk kepentingan politik mereka sendiri!) Keadaan hari ini tidak lagi begitu. Dalam sepuluh tahun ke belakangan ini politik sudah tidak lagi dianggap sebagi sesuatu yang esklusif. Bicara politik telah menjadi haksemua orang walaupun kadang-kadang orang yang berbicara hal politik itu tidak berpolitik dan tidak faham politik.

3. Suatu ketika dahulu orang Melayu secara keseluruhannya amat-amat menitik beratkan soal budi bahasa dan perasaan hormat saling menghormati. Tidak mengapa jika paras rupa kita tidak berapa cantik/lawa asalkan kita berbudi pekerti. Orang-orang muda tidak berani meninggikan suara kepada orang yang lebih tua kerana itu dianggap biadap, sementelahan lagi menentang raja kerana itu perbuatan derhaka!. Tapi kini seiring dengan derasnya arus kemerdekaan, budaya itu telah semakin dilenyapkan masa. Kadang-kadang kita hairan kenapa begitu mudah budaya mulia orang Melayu ini hilang.

4. Di Perak kini keadaan politik bergolak lagi apabila BN tiba-tiba menumbangkan kerajaan pakatan rakyat. Lalu tercetuslah demonstrasi oleh pihak pakatan rakyat yang marah dan membantah keadaan tersebut. Orang Melayu sekali lagi menjadi hero jalanan dengan berarak dan berdemo selepas solat Jumaat. Dalangnya siapa lagi kalau bukan Hero Demonstrasi Jalanan Malaysia ; Anwar Ibrahim. (Rakan beliau Lim Kit Siang dan Karpal Singh diam-diam aje!) Maka orang Melayu pun keluar menunjukkan amarah mereka sehingga sanggup baring di atas jalanraya mengahalang kereta YM Raja Nazrin. Rupa-rupanya budaya sopan santun Melayu bukan sahaja semakin terhakis malah budaya baru telah bermula ... Kurang Ajar dan Derhaka !Soalnya kenapa budaya ini ada pada orang Melayu yang bersongkok dan berserban? Dahulu orang Melayu yang bersongkok dan berserban ini tergolong dalam golongan agama yang lebih tertib dan tinggi budi pekertinya berbanding masyarakat Melayu biasa. Golongan ini sangat-sangat dimuliakan dalam masyarakat Melayu. Biasanya mereka mengajar al-Quran dan hal-hal agama. Kini golongan ini pula yang lebih celupar dengan kata-kata seperti Babi! Binatang! Sial! dan sebagainya. Yang hairannya selepas kata-kata celupar itu mereka memuji pula nama Allah yang Esa!

5. Kita tidak perlu menyebelahi samada BN atau Pakatan Rakyat. Kita bercakap mengenai budaya Melayu sahaja. Cukup di situ sempadannya. Politik adalah seribu kemungkinan. Di dalam politik tidak ada kawan yang setia atau musuh yang kekal. Anwar dahulu adalah orang no. 2 di dalam UMNO selepas Tun Mahathir. Semasa dia di dalam UMNO Karpal Singh dan Lim Kit Siang adalah musuh utama beliau. Semua perkataan dan perbuatan serta idealisme Karpal dan Lim Kit Siang adalah tidak benar kepada Anwar. Bezanya kini apabila beliau tidak lagi bersama UMNO maka Karpal Singh dan Lim Kit Siang kini menjadi sahabat baik dia pula! Tapi orang Melayu nampaknya mudah lupa ( seperti kata-kata Tun Mahathir yang popular itu!)

6. Bangsa Melayu kini berpecah-pecah kepada beberapa golongan. Di selatan seperti di Johor terutama Melayu di kampung-kampung, mereka masih kuat berpaksi kepada UMNO. Alasannya mudah. Di situlah tempat lahir UMNO. Dan yang memangkah BN pada setiapkali pilihanraya juga kebanyakannya tidak berdaftar sebagai ahli UMNO. Di kawasan tengah orang Melayu kini lebih cenderung kepada Keadilan. Di sini letaknya golongan melayu Moden yang berkerja di kota dan mempunyai taraf pendidikan yang agak tinggi. Mereka lebih terbuka. Mereka adalah golongan yang mementingkan 'fact & figure'. Manakala di kawasan Timur dan Utara majoriti Melayu menyokong idelisme PAS. Orang-orang Melayu di sini lebih selesa dengan imej kopiah dan serban. Soal berapa tinggi dan meluasnya ilmu keagamaan, itu persoalan lain.

7. Sebagai orang Melayu ada baiknya kita merenung dan bermuhasabah kepada diri kita sendiri. Pertamanya adakah di bumi bertuah ini ( Tanah Melayu) nasib kita sengsara dan tidak terbela? Keduanya mengapa dalam kemelut politik ini yang huru hara adalah bangsa kita? Ketiga, apakah kemerdekaan ini telah mengubah budaya Melayu kita yang mulia sehingga kita sanggup bermusuh dan bercakaran sesama bangsa? Akhir sekali di mana hati Melayu kita? Apakah sekiranya sekiranya keadaan benar-benar mendesak demi survival bangsa kita, bolehkah kita bersatu tanpa mengira idealisma?


No comments:

Post a Comment